KUIPS

Kolej Universiti Islam Perlis

Kolej Universiti Islam Perlis

PROFIL KORPORAT KOLEJ UNIVERSITI ISLAM PERLIS (KUIPs)

Sejak beberapa dekad yang lalu, Negeri Perlis telah cuba untuk menjadi sebuah Hab Pendidikan yang terkemuka dengan motto utamanya “Perlis Negeri Ilmu”. Ia antara lain bertujuan untuk menarik pelajar sekaligus menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan meningkatkan komuniti sosial.

Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dinaungi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Syed Sirajuddin Jamalullail telah menubuhkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang mana penubuhannya telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta.

KUIPs telah mula beroperasi secara sementara di Kompleks Islam Perlis pada 17 Jun 2013 dan telah beroperasi secara rasminya di Blok S1, Kompleks Desa Siswa, Sg. Chuchuh pada 3 Mac 2014. Malah, KUIPs komited untuk menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan Islam yang unggul di rantau ASEAN serta menjadi institusi pilihan kepada pelajar-pelajar Islam dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Asia Barat. 

 

 

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang masih baru, KUIPs bergiat dalam membangunkan dan menawarkan program-program akademik serta strategi yang unik untuk menghasilkan individu yang berpengetahuan dan kompeten selaras dengan visi dan misi yang ditetapkan. Pengambilan sulung pelajar KUIPs telah diadakan pada 15 Mei 2014 dengan jumlah seramai 61 pelajar yang terdiri daripada penuntut Program Asasi Muamalah dan pelajar Diploma Perbankan Islam. Sehingga Februari 2020, jumlah pelajar aktif di KUIPs telah meningkat kepada 963 orang pelajar dengan penubuhan empat (4) buah fakulti iaitu Fakulti Al-Quran & As-Sunnah, Fakulti Muamalat & Kewangan Islam, Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Perniagaan & Sains Pengurusan. Selain program akademik, KUIPs juga turut menawarkan kursus-kursus jangka pendek kepada masyarakat di sekitar Negeri Perlis.

Menjelang tahun 2020, KUIPs telah merencanakan pembangunan jangka panjang untuk menjadi sebuah Institusi Pengajian Tinggi Lestari yang menekankan konsep “Sustainable Education” dan “University Community Responsibility” yang menyokong kepada pembangunan “Universiti Lestari”.  Melalui inisiatif-inisiatif seperti ini, ia akan mengintegrasikan kelestarian dalam semua aktiviti-aktiviti utama Kolej Universiti seperti tadbir urus, pendidikan, penyelidikan, operasi dan hubungan dengan komuniti luar.

Dengan sokongan daripada semua pihak, terutamanya kerajaan negeri, ianya akan memudahkan semua perkara yang berkaitan. Hubungan erat dengan beberapa IPTA di Perlis juga telah mewujudkan persaingan yang sihat dan saling melengkapi antara satu sama lain. Semoga penubuhan KUIPs akan merubah landskap pendidikan tinggi di Malaysia, terutamanya di Negeri Perlis. Dengan menggunakan semua kekuatan dan persekitaran yang menyokong serta bersedia dengan semua cabaran dan mengenalpasti semua kelemahan, maka KUIPs pasti boleh menjadi antara IPTS yang paling kompetitif dalam jangka masa akan datang. Penubuhan KUIPs adalah langkah pertama dalam mewujudkan kejayaan yang lebih besar untuk negeri, negara dan agama yang tercinta.